Mesej untuk sesetengah golongan orang Melayu. Kenapa sesetengah golongan? Sebab bukan semua.
Hey kamu,
Kamu yang kecoh tentang isu striptease Faizal Tahir, gambar-gambar bogel pelakon Anak Pontianak, isu gadis bertudung memegang babi dan macam-macam lagi. Tolong jangan cakap kamu riuh rendah tentang isu-isu itu kerana mempertahankan agama kamu. Sebab kamu meletakkan taraf adat kamu jauh lagi tinggi dari agama kamu. Aku tak beli alasan kamu.
1. Kenapa isu striptease Faizal Tahir dikecohkan?
a) Sebab dia mendedahkan aurat? (Agama)
b) Ataupun kerana adegan striptease itu nampak kurang manis? (Adat)
Aku rasa jawapannya (b). Sebab kalau (a), tentu orang ramai sudah kecoh tentang pelakon-pelakon wanita yang memakai miniskirt dan baju tanpa lengan di kaca TV. Filem Remp-it pun lagi banyak adegan di mana lelaki tidak memakai baju, tak ada siapa kecoh pun?
2. Gambar-gambar bogel pelakon Anak Pontianak.
Nak cakap apa lagi? Kenapa orang yang tengok file .3gp itu adalah orang yang sama meninggalkan komen di video-video bertajuk lucah di YouTube? Komen-komen yang selalu berbunyi seperti,
“Subahanallah…wahai hamba Allah…ingatlah… perilakumu di dunia adalah cerminan balasanmu di akhirat…dimana anda mahu pergi? NERAKA ATAU SYURGA?”
Ya, aku copy paste komen itu dari satu clip di YouTube. Kenapa berjela-jela panjang komen seperti ini di comment section clip lucah Melayu di YouTube? Orang alim rajin mencari video seperti ini di YouTube kah? Aku rasa tidak. Siap tengok sampai habis dan meninggalkan komen lagi. Jangan malukan nama agama aku. Nak cakap tak kena dengan adat kamu tak apa. Adat ‘buat-benda-jahat-tak apa-asalkan-sorok-sorok-kerana-tak-manis-dipandang-orang’ kamu.
Cuba eksperimen ini: Taip 'Melayu' di YouTube. Tengok apa yang keluar dulu?
3. Isu gadis bertudung memegang babi.
Seperti yang Mufti Perlis terangkan lah, kalau pegang babi itu haram, maka kita tak boleh beristinjak lah. Sebab babi tu kan najis? Yang haram itu makan babi, bukan memegang babi. Kalau buat juga, berdosa. Macam pegang Al-Quran tanpa wudhuk lepas baligh – berdosa juga. Bukan aku nak samakan hukum pegang babi dan kitab kita tanpa wudhuk itu. Tapi lepas pegang babi itu kamu boleh samak. Aku juga setuju dengan apa Mufti Perlis cakap lagi- makan babi dengan makan riba sama saja haramnya, tapi kenapa makan babi boleh buat orang muntah tapi makan riba tak buat orang jijik langsung?
Hai, kalau nak cakap soal pegang benda haram, pegang tangan boyfriend dan girlfriend lagi keras hukumnya. Kenapa orang tak kecoh tentang gadis-gadis yang menumpang motorsikal teman lelaki mereka sambil memeluk si lelaki dengan erat?
4. Kebaya vs. Evening Dress
Yang mana nampak lagi sopan dan ayu, gambar kiri atau kanan?
Kebaya transparent trend sekarang yang mengikut bentuk badan dengan kainnya yang terbelah ataupun evening dress yang menunjukkan bahu tetapi berbentuk flowing bawah pinggang?
Aku tidak pernah memikirkan hal kebaya ini, hinggalah aku terjumpa suatu gambar di mana seorang gadis Melayu yang berkebaya berdiri sebelah seorang gadis Cina yang sedang memakai dress. Captionnya berjudul, ‘Aren’t you proud of me? I wore the traditional Malay costume!’
Gambar itu membuatkan hati aku tak senang.
Pertama, kerana di bawah gambar itu, kawan-kawan perempuan itu telah meninggalkan komen seperti,
“Nampak ayu sangat…patutnya macam ini lah gadis-gadis Melayu kita.”
Dua, kerana aku berpendapat dress yang dipakai oleh rakannya yang berbangsa Cina lagi sopan. Bukan sahaja kebaya pendeknya yang ketat itu menampakkan seluruh bentuk badannya, malah aku rasakan bahawa butang-butang kebaya di dadanya seolah-olah hendak tercabut kerana terlalu ketat. Juga kerana kain kebayanya terbelah hingga ke lutut.
Aku juga terfikir tentang pasangan yang tidak diberi peluang untuk berkahwin malah terpaksa tunggu kerana alasan tak baik melangkah bendul. Tak manis kahwin terus, kita perlu ikut adat, merisik dulu, meminang, kemudian baru nikah. Kemudian ada bersanding lagi. Sementara tunggu itu banyaklah maksiat kita buat.
Ini semua memang bukan soal agama bagi kamu. Ini soal adat.