Ini tentang pengalaman aku semasa mempelajari Bahasa Inggeris. Ya, aku tidak dilahirkan dalam sebuah keluarga yang menggunakan BI sebagai bahasa pengantaraan.
Ini aku di sekolah rendah: terketar-ketar apabila harus membaca perenggan ikut giliran semasa matapelajaran BI di sekolah rendah. Sampai aku sudah rehearse perenggan itu berkali-kali dalam minda aku agar tak ditertawakan ketika giliran aku tiba untuk membaca. Sampai tapak tangan aku berpeluh-peluh memikirkan harus menyebut huruf ‘o’ atau menyebut ‘zero’ apabila sedang menyebut nombor telefon seseorang. Resah memikirkan cara yang betul untuk menyebut hotel dan butter. (ba-ter atau ba-derr?) Jangan jawab, ini cerita lama.
Dalam kelas aku sering mendapat tempat kedua. Aku sering skor markah penuh atau hampir penuh untuk BM dan Matematik, tetapi markah BI yang menjatuhkan posisi aku dalam kelas. Selepas mendapat balik kertas peperiksaan BI, rakan-rakan sekelas berbangsa Cina selalu datang bertanya, dapat markah apa? Supaya boleh kira purata markah untuk menentukan siapa yang akan menduduki tempat pertama. Dan aku selalu tewas semata-mata kerana subjek BI ini sahaja.
Ini aku di rumah: aku tiada kacukan ‘omputih’. Ibu bapa aku berasal dari kampung. Ibu aku suri rumah dan dia masak tiga kali sehari sambil memasang lagu-lagu Alleycats, Sudirman, Exist, Spring, Amy Search dan Iklim. Aku tak faham lirik lagu-lagu Inggeris; semuanya bunyi seperti membebel saja bagi aku. Tiap-tiap hari aku melalak lagu Isabella dan Patah Tumbuh Hilang Berganti semasa mandi.
Aku pernah menyebut bintang horoskop Pisces sebagai Piskez. 8 tahun kemudian, kawan aku membuat kesalahan yang sama, aku gelak. Bukan mentertawakannya, tapi kerana teringat aku juga pernah membuat perkara yang sama. Aku pernah menyebut Lancome sebagai Lan-kam. Macam-macam lagi kesalahan pronunciation aku pernah buat (dan masih buat).
Proses pembelajaran BI itu benar-benar bermula ketika aku 14 tahun, selepas aku penat ditertawakan. Aku tinggal di kawasan yang agak snobbish – perkara seperti tidak berbahasa Inggeris (fasih atau tidak itu belakang cerita) dianggap hina. Sebelum itu aku membaca tetapi aku tak menghayati, sekadar membaca kerana dipaksa. Dan lama-lama aku belajar extraordinary itu tidak disebut sebagai extra-ordinary, perkataan-perkataan seperti plumber dan doubt harus dimatikan huruf b nya.
Aku tidak terus menerkam buku Oscar Wilde dan Sir Arthur Conan Doyle ketika mula membaca.Aku mula dengan Enid Blyton. Sama saja macam nak belajar baca Al-Quran, mula-mula merangkak juga. Sebab itu biasanya orang baca Muqaddam atau Iqra’ dulu, baru baca Al-Quran.
Ini semua cerita dahulu. Sekarang, tak ada lagi orang mentertawakan aku lagi bila aku bertutur Bahasa Inggeris. Sekarang, aku dapat berbicara dalam BI jauh lebih handal dari orang-orang yang mentertawakan aku dahulu. Setakat cakap ‘I’ dan ‘You’ tu takda hal la. Rakan-rakan yang tidak mengenali aku sejak sekolah rendah tak tahu tentang aku dahulu. Oleh itu, mereka sering menggunakan ayat-ayat ini dengan aku:
“Nak copy assignment boleh? Aku tak faham sangat soalan dia... Aku tak pandai English macam ko la…”
dan juga,
“Kau bolehla, kau terer speaking. Aku tak reti.”
bila malas untuk membuat sesuatu yang perlu menggunakan kemahiran Bahasa Inggeris.
Scheisse lah wei. Pergi belajar Bahasa Inggeris. Malas cakap malas. Jangan reka alasan yang macam-macam.
Jangan guna alasan belajar bahasa lain adalah seperti berkomplot dengan penjajah. Aku belajar juga bahasa-bahasa lain, tapi aku tak kurang Melayu. Malah, aku boleh dikategorikan sebagai Melayu yang agak Maksima. Jenis yang bawa belacan bakar masuk dalam luggage apabila ingin ke luar negeri dan bawa cekodok sebagai bekal tiap-tiap hari semasa sekolah rendah.
Nota kecil: Aku juga seseorang yang malas.